Friday 13 March 2009

Perkahwinan Dalam Islam


Al-Baitul Muslim


Pengenalan

Perkahwinan merupakan satu pertalian antara dua hamba Allah yang disulam untuk menghalalkan fitrah cinta dan hubungan sesama manusia antara Adam dan Hawa.Islam menggariskan satu tatacara hidup yang sempurna bagi anak Adam yang telah meningkat dewasa dan akil baligh untuk mendepani kehidupan baru bagi meneruskan kesinambungan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi.
Jika diperhatikan hukum alam, setiap ciptaan Allah dihasilkan berpasang-pasangan,Matahari dan Bulan,malam dan siang,langit dan bumi, semuanya dijadikan untuk melengkapkan antara satu sama lain bagi faedah seluruh alam serta membuktikan keesaan Allah S.W.T mentadbir alam ini.

Firman Allah S.W.T.
”Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.” (Yaasin: 36)

Begitu juga dengan perkahwinan di mana suami dan isteri itu telah Allah catatkan sejak azali lagi untuk setiap anak Adam yang lahir di bumi ini dengan pasangan masing-masing bagi memberi kedamaian dan penyejuk hati buat insan kerdil ini sesuai dengan ayat dari surah Ar-Rum:21

“ Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu berasa cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara rasa kasih (mawaddah) dan sayang(rahmah).Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Ar-Rum: 21)

Ayat di atas secara jelas menuntut peranan yang besar kepada bakal suami mahupun isteri yang akan menakhoda bahtera perkahwinan supaya menjadikan rumahtangga itu bukan sahaja dipateri dengan cinta di awal perkahwinan(mawaddah) yang lazimnya terbit atas dasar nafsu, tetapi biarlah cinta itu kekal menjadi kasih sayang yang berpanjangan(rahmah) sehingga menanti ke penghujung nyawa.

Perkahwinan merupakan satu ibadah dan sunnah yang dituntut oleh Rasulullah S.A.W. yang dijalin bagi membentuk satu generasi masyarakat yang berkualiti dan tawadduk. Institusi kekeluargaan Islam ini cukup penting dalam merungkai permasalahan sosial manusia sehingga ia diletakkan dalam tingkatan ke-dua selepas pembinaan individu muslim dalam maratibul amal yang digagaskan oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Pergolakan gejala tidak sihat dan kebajetan akhlak yang berlaku di kalangan muda-mudi pada hari ini kebanyakannya berpaksi daripada keruntuhan nilai pada kekeluargaan Islam yang dibentuk pada awalnya.

Pemilihan Calon Suami dan Isteri

Di sinilah Islam mengemukakan konsep Rabbani dalam memilih pasangan masing-masing supaya bahtera perkahwinan tidak menjadi satu bahan tawa masyarakat sekeliling.Islam menggariskan beberapa cara terbaik dalam memilih calon pasangan masing-masing. Ukuran pemilihan ini penting supaya masa depan perkahwinan akan lebih terjamin serta membentuk sebuah keluarga sakinah dan keturunan yang terbaik.

Sabda Rasulullah:
”Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik.”(Riwayat Ibn Majah).

Hadith ini menekankan secara tegas bahawa pemilihan suami mahupun isteri itu haruslah berdasarkan taqwa, ketundukan kita kepada Allah S.W.T. yang InshaAllah sekiranya ia dilaksanakan dengan niat yang ikhlas akan ditunjukkan dengan jalan kebahagian di dalam melayari alam perkahwinan nanti.

Justeru itu, peranan ’orang tengah’ yang terpercaya merupakan wasilah terbaik dalam mengenali hati budi bakal suami mahupun isteri yang akan dikahwini. Orang tengah ini boleh sahaja terdiri daripada kalangan keluarga sendiri ataupun sahabat-sahabat akrab yang dipercayai.Kisah Nafisah yang menjadi orang perantaraan untuk menyuarakan hasrat Saidatina Khadijah untuk bersuamikan Rasulullah menunjukkan peranan besar yang boleh dimainkan oleh ’orang tengah’ ini. Pada zaman kini, kesibukan ibubapa misalnya mencari nafkah untuk keluarga membataskan peranan mereka untuk menjadi kuasa penimbang kepada pemilihan bakal suami dan isteri bagi anak-anak mereka.

Peranan orang tengah atau lebih dikenali dengan unit baitul muslim menjadi satu wadah terbaik buat umat Islam yang berhajat mendirikan rumahtangga, tetapi bukanlah menjadi syarat untuk menempah bakal suami mahupun isteri sebelum ikatan sah dimeterai. Apa yang pasti, orang tengah yang dipertanggungjawab oleh bakal suami dan isteri ini perlu bersifat ikhlas dan dipercayai amanah dan keadilannya supaya rahmah dan berkat daripada perkahwinan ini akan menjadi bekal akhirat bukan sahaja buat pasangan yang bakal berkahwin malah kepada si penyatu dua hati ini.Ia melengkapkan lagi keindahan dan kemurniaan ajaran Islam itu sendiri yang memberi kebebasan buat penganutnya dalam memilih bakal suami dan isteri mengikut batas syara’ yang ditetapkan.

Tanggungjawab Suami dan Isteri


Perkahwinan antara dua insan bertujuan memberi manfaat bukan sahaja kepada suami dan isteri tetapi juga kepada keluarga kedua-dua belah pihak.Suami dan isteri harus berterusan mengamalkan sikap toleransi dan memahami tanggungjawab masing-masing agar sinergi daripada perkahwinan ini membawa hikmah ke seluruh alam.Tanggungjawab suami dan isteri ini disebut dalam Surah An-Nisa ayat 34:

”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka).” (An-Nisa:34)



Ayat di atas diperjelaskan lagi melalui hadith daripada sabda junjungan besar Nabi Allah berikut:

”Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan diminta tanggungjawab atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.Seorang lelaki bertanggungjawab atas kehidupan keluarganya dan akan diminta bertanggungjawab atasnya. Dan perempuan bertanggungjawab atas harta dan anak-anak suaminya dan akan diminta tanggungjawab atasnya” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, perkahwinan merupakan satu amanah yang cukup besar baik kepada suami mahupun isteri dan penting kedua-duanya saling melengkapi untuk menunaikan tanggungjawab yang diberikan Allah S.W.T kepada setiap manusia yang bergelar suami dan isteri supaya kasih(mawaddah) dan sayang(rahmah) akan subur dalam alam perkahwinan yang bakal dihidupkan kelak.

Sekian.
Wassalam

Rujukan

Muhammad Isa Selamat ,”Suami Teladan Igauan Seorang Isteri”,
Penerbit Darul Nu’man, Cetakan keempat 1998


Pasangan Sempurna