Friday 14 November 2008

Kupendam rindu raudah demi sebuah kembara

Gusar,hiba,runsing dan pasrah.Beralunan perasaanku ketika menaip rencana ini.Bukan kerana aku resah dengan ketentuan Illahi, bukan pula menyerah pada taqdir hakiki.

Cuba kuselami bait-bait taybah yang bersendikan pujian Raudah. Hamburan kata-kata itu jelas mengukir makna sebuah cinta kepada perjuangan Rasulullah mengharmonikan masyarakat Madinah kota cahaya.

Raudah telah menempatkan rasa gelisah di hatiku bila pertama kali kujejakkan kaki di lantai Masjid Nabawi. Masih terbayang bagaimana Raudah hanya berada tidak sampai sehasta di hadapanku, namun rezeki untuk mengucup dan bersujud di belakang tiang itu seakan ghaib sesaat dek kerana memberi ruang buat yang mahu menumpang berkat raudah.Kuusahakan pula untuk meneliti di balik ruang-ruang maqam Nabi Muhammad S.A.W. Perasaan cemburu masih berbekas di hati kerana rezeki abang sulungku yang bukan sahaja mampu mengecap solat di hadapan raudah malah ketenangan memperoleh pemandangan rumah yang menempatkan sekujur tubuh manusia agong,Muhammad.

Esoknya kugagahkan lagi,dan selama keberadaanku di bumi Madinah,selama itu aku bersungguh untuk mengecap sujud di hadapan kukuhan indah tiang itu dan menikmati pandangan maqam Nabi. Namun, walhasilnya tidak kesampaian niatku di sana.

Ah, tidak mengapa mungkin Allah mahu mengujiku.Lalu kembara umrahku bergerak menuju Makkah Al-Mukaramah,sebuah destinasi indah menghimpunkan jutaan kekasih-kekasih Allah setiap kali bulan Zulhijjah menjengah taqwim.

‘Mungkin rezekiku lebih baik kali ini’ bisik diriku untuk menenangkan gelora hati. Kufikirkan cara terbaik untuk kali ini biarlah aku mampu mengucup batuan syurga di sisi penjuru Baitullah.Biarlah kali ini, rindu kembara aku terubat dengan sekonyong-konyongnya mampu kukucup Hajarul Aswad itu.Sehingga sanggup aku bangun di pagi buta sebelum subuh menjelma bertemankan ‘Cik Mi’,seorang rakan akrab atukku,semata-mata mahu kuredah lautan manusia demi merasai hikmah rahsia di sebalik batuan suci itu.

Yah, tatkala Kaabah terbentang luas di mata dengan ribuan manusia yang melaksanakan tawaf sunat di sekelilingnya, Cik Mi menyapa dan membuahkan nasihat untuk aku membatalkan sahaja hasrat menempuh gelombang manusia yang masih berlumba-lumba ke penjuru Kaabah itu.

Aku pasrah.Selamaku di bumi Arab Saudi ini,saat yang kukira jutaan manusia berjaya mengecapi bi’ah syurga,di saat ada yang mencium bau-bauan syurgawi, aku di sana langsung tiada upaya merasai kenikmatan itu.Bahkan, aku bertambah kaget, mengapa tidak langsung air mataku gugur di hadapan pintu Kaabah menangisi dosa-dosa berantai yang selamaku bernafas di bumi Allah ini,tidak pernah kuinsafi?

Selepas kupulang ke tanah air, persoalan sama kuajukan pada mak dan pak. Adakah aku bergelumang dengan dosa yang besar sehingga tidak mampu kukecapi nikmat-nikmat yang banyak di kota Madinah dan Makkah?Mengapa tiada keinsafan barang sedikit pun yang aku peroleh bila tiba di dua kota bersejarah ini?

Kini, sudah hampir 4 tahun saat bertapak di kota itu menjadi kenangan.Kusedar, rupa-rupanya ada hikmah di sebalik kejadian. Bukanlah Allah ciptakan kesemua nikmat syurgawi itu untuk manusia berasa puas hati dengan amalannya.Bukanlah Allah menciptakan Raudah,Hajarul Aswad hatta Kaabah untuk dijadikan rasa gah dan bangga kerana kemampuan manusia menikmati antara taman-taman syurga di akhirat kelak.

Setiap minit, dan setiap saat, di bahuku dibebankan dengan satu tanggungjawab besar.Seluruh manusia harus sedar akan hal itu.Nikmat taman-taman syurga itu tidak harus terus mengaburi umat Islam daripada kekal dengan sikap ke’aku’an.Taman-taman itu diciptakan Allah buat memotivasikan dan menggambarkan indahnya syurga di akhirat kelak sekiranya umat Islam menunaikan tuntutan-tuntutan syahadah mereka.

Usah digahkan dengan berpuluh kunjungan di Madinah dan Makkah jika tuntutan-tuntutan itu tidak mampu kita terokai. Apa makna sebuah cinta Raudah jika kembara di tanah Allah terus dibaur dengan percikan najis maksiat?Apa makna sebuah rindu Raudah jika jalan menuju Allah dikhianati dengan kerapuhan iman?

Ingatlah Makkah dan Madinah bukanlah dua kota yang mampu membuka lorong-lorong manusia menempah syurga Allah. Makkah dan Madinah hatta Baitul Maqdis, bukan semata-mata tempat kita menangisi dosa dan bermohon ihsan Allah supaya taubat kita diterima di sisinya.

Kini jalan itu cukup terang.Lorong itu cukup jelas.Makkah dan Madinah,Baitul Maqdis hatta kota-kota Al-Andalus membawa satu ibrah,mengukir satu teladan buat mereka yang faham erti sebuah perjuangan.Erti sebuah kembara buat menggapai redha Allah.Berusaha berjuang mungkin juga terkorban demi mengangkat kembali roh Islam ke seluruh pelosok dunia.

Makkah,Madinah dan kota-kota Al-Andalus memberi satu hikmah kepada diriku.Mesej yang kupegang sehingga kini cukup jelas,selagi tidak berjaya kuusahakan perjuangan ini, selagi itu tangisku taubatku di sisi Kaabah mahupun di sisi Raudah hanya gurauan senda semata-mata.

Biarlah aku tidak gagah menghurai tangisan di hadapan Kaabah, kerana apa yang aku mahukan tatkala aku hadir di padang mashyar kelak,di hadapan Allah dan Rasul-Nya nanti, aku menangis bukan kerana menyesali dosa-dosaku bergurau di hadapan Kaabah, tetapi linangan air mata ini adalah bekal seorang pejuang yang mati kerana menegakkan agama-Nya.
Moga-moga sebelum aku syahid di bumi Allah, aku mampu menempah rindu Raudah tetapi kali ini dengan linangan seorang mujahid. Doakan aku untuk mencapai maqam ini kerana kutahu betapa beratnya untuk meraih kasih Allah buat hambanya yang bergelumang dengan belenggu dosa.




أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَجَـهَدَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ لاَ يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّـلِمِينَ

Apakah (orang-orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Surah At-Tawbah:19

Sunday 9 November 2008

Blog dalam Kenangan

Salam buat pembaca sekalian,

Post kali ini bersifat sedikit peribadi.

Sekian lama diri ini menyepi dari pena penulisan,aku cuba menyoroti bait-bait kembara dakwahku dulu.

Tatkala menyingkap kembali memori dakwah lalu,diri ini menemui semula blog yang sudah lama bersarang di laman.

Fikrahku


Diam tidak diam,sudah hampir 3 tahun blog Fikrahku pegun tanpa ada pengisian.Pencetus idea-idea demi sebuah perjuangan dakwah senantiasa hilang dan kabur tatkala jari ini rapat menyentuh papan kekunci ini.
Walhal diri inilah antara sahabat yang merintis variasi medan dakwah hasil anjakan paradigma perjuangan Islam sekitar tahun 2005-2006.

Jalan yang dirintis itu kini telah disiar dengan baiknya di dalam blog ini

Barangkali ia menjelaskan bagaimana aku menghadapi badai taadud jemaah yang kukira benar-benar membawa ibrah besar ke atas perjalanan kembaraku di bumi Allah ini.
Taadud jemaah yang cantik kulitnya tetapi pahit isinya.

Kuamati baik sejarah silamku dan kusedari ramai rakan akrab yang semakin hilang dari mata menunaikan tanggungjawab di medan realiti di bumi Malaysia.

Apa khabar agaknya mereka di Malaysia??Aku yakin rakanku akan terus istiqamah demi melihat satu kebangkitan Islam yang tersusun di bumi Nusantara kelak bertepatan dengan ayat Allah(61:4):

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَـتِلُونَ فِى سَبِيلِهِ صَفّاً
كَأَنَّهُم بُنْيَـنٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Moga Allah merahmati perjuangan kalian.



Buat diriku,pastinya sisa terakhir di bumi orang akan terus kuusahakan memartabatkan nilai dakwah suci ini.Kuyakini pemurniaan perjuangan akan bisa merungkai permasalahan besar ummah ketika ini.

Walaupun futur hampir-hampir menyapa, tetap kuperjuangkan dakwah suci ini sehingga diriku menghadap Allah yang Maha Esa.

Wassalam