Friday 22 May 2009

Aku dan 21 Mei

Salam semua,

Saidina Ali pernah berkata, "Kata-kata itu lebih tajam daripada mata hujung pedang".

Begitulah signifikannya nasihat Saidina Ali ini tentang kekuatan daripada luahan perkataan samaada dalam bentuk penulisan,ucapan hatta melalui bahasa gerak tubuh.

Dengan sebaris ayat sahaja boleh menggegarkan dunia.Tidak perlu kita pergi jauh.Pandang sahaja kemelut politik yang yang berlaku di tanah air kita sendiri.Pergelutan antara kalangan ahli politik tidak berharga walau sekelumit pun malah, bicara inilah yang mewujudkan persepsi negatif sehingga merosakkan kestabilan politik Malaysia. Kata-kata jika tidak diurus dengan cemerlang,mampu mengundang seribu satu malapetaka kepada dunia.

Tetapi apa yang mahu kuutarakan bukanlah ungkapan politik yang diada-adakan oleh si pemain drama politik.Pada hari ini, aku telah belajar sesuatu yang sungguh bermakna dalam merungkai belenggu cinta yang sentiasa terpendam dalam jiwa.

Ucapan yang cukup ringkas tetapi memerlukan kekuatan untuk aku meluahkannya di hadapan seorang yang sangat aku cintai tatkala ini.

Begitu sukar bagi seorang anak untuk meluahkan ucapan terima kasih kepada Ibunya atas pengorbanan menyabung nyawa melahirkan seorang insan ke muka bumi. Satu ayat yang cukup mudah tetapi sukar diterjemahkan melalui lisan.

Perlukah kita berasa segan atau malu untuk berterima kasih dengan mereka yang menjadi titik tolak Syurga dan Neraka kita?
Jika dengan manusia kita berasa begitu angkuh untuk meluahkannya, bagaimana pula di hadapan Khaliq,Pencipta Agung kita?

Pernahkah sekelumit kita bersyukur dengan kehidupan yang Allah berikan buat kita?Adakah kesyukuran kita hanyasanya dilampirkan di tikar sejadah semata-mata?

Bukan sahabat-sahabat.Aku yakin Allah ciptakan manusia ini penuh dengan keistimewaan daripada segala kejadian bukan semata-mata untuk menjadi 'abid di tempat sujud tetapi melangkau potensi jiwa dan akal mereka sendiri.

Sesungguhnya Allah memberi 'kebaikan' kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan syarat mereka faham.
Kefahaman yang dimaksudkan di sini adalah kefahaman dalam beragama.Bagaimana memperoleh kefahaman sekental ini?Ya jawapannya adalah melalui tarbiyah,amal Islami,gerakan bertunjangkan Islam,dan mengakar ke dalam masyarakat.Paling penting adalah melalui dakwah perjuangan yang tidak kenal erti penat lelah.

Itulah yang melahirkan insan yang bukan sahaja bergelar da'ei,malah meningkat ke tahap al-akh mujahid yang menjadi impian ramai aktivis dakwah.

Menyebut tentang ucapan lisan,tertarik untuk aku mengupas tentang realiti kehidupan aktivis dakwah terutamanya di kalangan mahasiswa pada hari ini. Kebanyakan mahasiswa sangat hebat berbicara soal teori dan pelbagai komponen-komponen dakwah tetapi malang sungguh hanya sedikit sahaja yang mampu mempraktiskan apa yang mereka ucapkan melalui kata-kata itu.

Berkali-kali daku menghadam Surah As-Saff ayat 2 dan 3 untuk mengingatkan tentang segala dosa hasil kealpaan yang sering menghantui diri akibat ungkapan yang terkeluar dari mulut ini.


يٰۤاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا لِمَ تَقُوۡلُوۡنَ مَا لَا تَفۡعَلُوۡنَ‏﴿۲﴾
كَبُرَ مَقۡتًا عِنۡدَ اللّٰهِ اَنۡ تَقُوۡلُوۡا مَا لَا تَفۡعَلُوۡنَ‏﴿۳


Maksudnya : Hai orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Aku gentar dengan ayat ini kerana betapa banyaknya penzinaan hati,mata dan anggota yang telah aku labuhkan tirainya di dunia ini. Setiap kali syaitan iblis datang menjengah ke hati ini,cepat-cepat aku beristi'azah dan mengangkat wudhuk sebagai pendinding daripada bayangan mereka.

Bait-bait ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah juga seringkali kuucapkan pada permulaan dhuha demi memastikan ia menjadi bekalan doa dan tazkirah terbaik untuk aku menghadapi cengkaman daripada permainan duniawi seharian.

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ اِنۡ نَّسِيۡنَاۤ اَوۡ اَخۡطَاۡنَا‌ۚ

Maksudnya : Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah.

Ya Allah,aku mohon engkau berkatilah usiaku ini dan kekalkan aku dalam kasih sayang dan rahmat-Mu. Aku akan terus melangkah deras demi perjuangan panjang ini dan bernafas sederu kuda perang (Al-'Adiyat).

Moga bingkisan hari demi hari yang aku taipkan ini, akan menjadi perangsang kepada pemahaman tentang kehidupan beragama ku demi sebuah matlamat menterjemahkan erti hidup pada memberi.

Wassalam

Thursday 7 May 2009

Aku memohon petunjuk dari-Mu



Tatkala aku mengakhiri hari-hariku di bumi Renaissance ini, aku pohon Ya Allah moga Engkau kekalkan aku,tetapkan pendirianku, terangkan hati aku, dan bukakan seluas-luas bukaan mindaku untuk aku bergerak ke arah ujian lebih besar di Malaysia nanti dan sesungguhnya, ujian di akhirat kelak lebih berat untuk aku tempuhi.

Biarlah ayat yang kunukilkan ini,bisa menjadi saksi dan tamparan buat diri ini bila mula mencari alasan untuk terus berjuang.

Bahawasanya aku akan terus memegang panji-panji jalan dakwah ini sehingga ruh ini dipanggil Penciptanya.Ya Allah Ya Rabbi,Aku berusaha ,Aku memohon pertolongan dari-Mu,Kini aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku,tawakkal ku hanyasanya kepada Engkau untuk menentukan perjalanan hidupku buat aku mengembara di bumi Allah demi mengecap redha-Mu ke syurga...

Amin Ya Rabbal 'Alamin