Tuesday 8 January 2008

Iktibar Maal Hijrah 1429H

Salam buat pembaca yang dihormati,

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah S.W.T. yang masih memberikan kita secebis kasih-Nya untuk terus kita bernafas sehingga ke hari ini.Seperti yang semua sedia maklum, tahun 1428H telah melabuhkan tirainya dan 1429H merupakan tahun keramat yang pastinya kurang dinanti oleh banyak muslimin dan muslimat serata dunia baik di timur mahupun di barat,di utara ataupun selatan berbanding tahun Masehi yang disambut seantero dunia baru-baru ini

Waktu yang berlalu seakan pantas sehingga terpana sebentar apabila diberitahu sahabat bahawa bermulanya lembaran tahun hijrah yang baru.Signifikan sebuah penghijrahan Rasulullah dengan berhijrahnya tahun demi tahun, begitu juga kematangan semangat yang perlu ditanamkan dalam diri kita.

Atas dasar apa semangat hijrah yang kita laungkan selama ini?Kembali merungkai sejarah Rasulullah, banyak tentangan yang diterima Nabi sebelum bermulanya Hijrah Besar ini dan ia bertepatan sungguh dengan sunnah perjuangan yang tidak akan dimulai dengan hamparan permaidani merah.

Sejarah Permulaan Dakwah Rasulullah di Mekah memberi satu iktibar yang banyak buat umat Islam jika kita bijak menghayatinya.Allah mencampakkan kemuliaan dalam diri Rasulullah sehingga tidak pernah dalam benak Baginda mengimpikan cita-cita sebagai seorang utusan akhir zaman mahupun manusia yang terpilih.Proses Tazkiyatun Nafs(pembersihan jiwa) sepanjang medan perjuangan dakwah di Mekah benar-benar menguatkan keazaman Baginda tentang perjuangan mendaulatkan Islam di muka bumi.Baginda pernah diuji dengan dengan tawaran pangkat,harta dan wanita suku Arab Quraisy yang menawan demi menggagalkan perjuangan dakwahnya.Ujian yang paling berat pastinya datang dari kerabat keluarga dan pernah Rasulullah ditanya oleh Abu Talib supaya mengendurkan sedikit da’wahnya,namun dengan yakinnya pada nusrah Allah Baginda bersabda:

"Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di
sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan
urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya, sehingga-lah Allah
memenangkannya atau aku binasa kerananya".

Bila membuka sejarah hijrah, kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan hadith pertama karangan Imam Nawawi(Hadith 40) yang secara jelas menghubungkan kita tentang peri pentingnya kebergantungan amalan dengan niat.Nilai keberkesanan dakwah Rasulullah pada era sebelum penghijrahan bukan hanya semata-mata meletakkan penggantungan dakwah kepada pangkat,harta,keturunan ataupun puji-pujian sebaliknya terletak kepada keikhlasan niat Rasulullah memartabatkan Islam.Sebenarnya inilah penawar yang banyak melembutkan hati ramai untuk sama-sama mendokong perjuangan dakwah yang panjang ini.

Benarlah Firman Allah

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat. (Al-Ahzab:21)

Kesinambungan pejuang dakwah ini juga disusuli dengan kefahaman dan penghayatan jitu mereka tentang makna Islam,Iman dan Ihsan seperti yang dapat kita semua hayati melalui hadith yang seterusnya iaitu hadith-2 dalam Hadith 40.Sebab itu tidak hairanlah bila dikatakan ramai sahabat-sahabat Rasulullah yang hebat lahir dari medan tempur sukar di Mekah hasil tarbiyah kental.

Mesej yang mahu dibawa sekitar era Hijrah Kubra ini cukup terang lagi bersuluh.Keberkesanan sebuah dakwah Islam harus dijana dalam metodologi yang tersusun dengan menekankan aspek penghayatan yang ’real dan praktikal' serta bukan masa untuk kita terus berkhayal menguji teori-teori yang membebankan masyarakat.Pembentukan manusia bukan seperti menyusun susunan blok-blok permainan ’LEGO’ yang nampak fizikalnya utuh dan tegap tetapi batinnya lemah dan murung. Ketinggian bangunan yang tersusun tanpa campuran binaan yang baik hanya mengundang rekahan lantas cita-cita besar menggapai awan tambah retorik.

Oleh itu,marilah kembali kita muhasabah diri mengambil pengajaran sirah Rasulullah ini mengikut kaca mata seorang daei,seorang pejuang dan seorang ansorullah,bukan seorang penghukum.Ambillah iktibar persaudaraan Ansar dan Muhajirin yang penuh makna dalam menerobos mata hati umat akibat perpecahan jemaah di dunia kala ini.


Moga beroleh manfaat.

Sekian,Wassalam.

Yang Mengharap Nusrah Allah(pertolongan Allah)

Tuesday 1 January 2008

Al-Andalus Tidak Akan Terus Menangis

Bismillahirahmanirrahim,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih,

Tiada Illah yang layak disembah melainkan Allah.

orang-lelabah,inshaAllah akan bisa menjadi blog al-rijal(pemuda) terbaru,yang akan mengupas secara kritikal permasalahan ummah dan masyarakat Malaysia amnya,dengan merujuk kepada pengalaman,pendedahan,pemahaman,dan penghayatan penulis mengupas perkembangan semasa tanah air tercinta dan dunia,

orang-lelabah,inshaAllah akan bisa membuka ruang perbincangan positif mahupun negatif untuk diperhalusi bagi mencari medium terbaik dalam menguntai penyelesaian masyarakat dan ummah Islam berdasarkan kapasiti penilaian penulis mengintai lembaran-lembaran ilmu Allah.

Semoga perbincangan sihat ini,bisa mencabar kredibiliti pembaca untuk lebih kreatif,inovatif dan kritikal dalam mengepalai kehidupan sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah.

Ruang lingkup diskusi mahu tidak mahu wajar berpandukan Al-Quran,As-Sunnah,Ijma' ulama' dan qiyas.Segala isu khilaf dan furu' adalah tertolak sama sekali demi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Ini bukan blog pencetus fenomena, tatkala fokusnya ke arah meneraju umat mencapai mardhatillah yang dijanjikan dan mengisi kemenangan Islam di bumi Allah.

Semuanya demi melihat Al-Andalus tidak terus merintih.