Tuesday 29 July 2008

Muzakarah@Muqabalah PAS-UMNO : Apa kata orang Warung?

Salam sahabat pembaca yang dihormati,

Tertarik dengan perbincangan bersahaja warga warung kopi di ceruk Bandar Tun Razak berkenaan isu menyengat terbaru yang menghantui jemaah Islam Malaysia ini. Lalu terbit sepotong kalam Allah yang seharusnya membuat para aktivis bersedia kembali menghayati maudu' perjuangan yang selama ini kita pertahankan. Apa kata anda??

Surah Ali-Imran : 103

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai,....

Tuesday 15 July 2008

Aku berpermaisurikan Mujahidah,Dia berajakan Mujahid

Entah kenapa telah kugagahi dunia ini sejauh perjalanan, serentang langit membiru, namun, seakan tidak kutemu jalan pengakhirannya.Hati ini sekilas terasa gundah.Haru biru.Kacau bilau dan pelbagai lagi istilah dan frasa yang sukar diterjemah hitam putihnya.Seolah-olah tidak kutemui konsonan cinta kepada dakwah perjuangan yang selama ini aku tunjangi begitu gigih dan tulus.

Telah kusoroti lembaran wacana penulis ‘Cinta Anta Anti’ beberapa tahun lalu, dan sememangnya aku bersetuju dan selama-lamanya akan bersetuju bahawasanya dakwah seorang daei tidak harus dibaurkan dengan maksiat hati dan fitnah duniawi. Tidak juga kukesampingkan karangan ulama’ muda berjudul ‘Aku Terima Nikahnya’. Ya, aku mengangkat tangan tanda sebuah penerimaan realiti kehidupan yang Allah ciptakan fitrahnya sejak azali lagi.

“Alahai hang muda lagi, enjoylah dulu.Kahwin-kahwin ni banyak masa lagi”.”Takpalah, hang dah berumuq, hanglah patut kahwin dulu.Aku banyak masa lagi Lagipun aku sibuklah berkerja/berdakwah”.Skema jawapan kepada erti sebuah pernikahan sering terngiang-ngiang di gegendang telinga ini.Alasan masa dan waktu menjadi tembok pemisah kepada jawapan yang cukup besar maknanya iaitu,membina sebuah benteng kepada gelombang Iblis.

“Pak dan mak tengah jenguk album Angah waktu kecil dulu.Tak sempat mak dan pak bermesra dan berkasih sayang dengan Angah, belilah Mercedes dulu kat mak, lepas tu nak kahwin,kahwin lah”. Suara hati Ibu cuba mengelak bila diutarakan soalan cepu emas.Bilamana kerisauan ibu dan ayah berbicara soal kasih,boleh pula seorang anak secara nakal membayangkan hasrat perceraian cinta anak dengan ibubapa. Hati mana yang tidak tersentuh bila dua manusia yang selama ini membelai kita bagai menatang minyak yang penuh, menegaskan ayat-ayat cinta mereka secara berhikmah.Aku terkesima lagi.

Bertahun lamanya aku langkahi bumi ini.Ta’lim,Usrah, Daurah, qiam, jaulah,rehlah,katebah semuanya telah kutempuh.Semuanya merubah persepsi diriku melihat dunia dan menerobos makna mengapa aku menganut agama suci Islam.

Tiba-tiba datang bahana membuatkan diriku beruzlah dan menyendiri sepertimana khulwahnya sahabat Nabi,Abu Dzar berlari daripada lemparan fitnah zaman pemerintahan Saidina Uthman.Kukira dengan mengasingkan diri daripada kekalutan berbilang jemaah,mampu memberi ketenangan untuk aku terus menjadi abid dan hamba Allah yang lebih bertaqwa demi mengelak terus terjerumus ke dalam medan fitnah. Sekilas aku menatap kitab Al-Muntalaq dan hatiku terpaut kepada tajuk Ahli Ibadah yang bermain-main. Terasa diri ini kerdil semula,tanpa pengorbanan kepada ummah. Semakin kulari dari amukan dan kecamuk masyarakat semakin berat tanggungan beban di bahu aku sehingga air mata pun tidak bisa mengqabulkan doa seorang abid!! Itulah sinopsis ringkas yang mampu kuekstrakkan helaian juzuk-juzuk daripada kitab ini.

Entah darimana datangnya satu roh baru, warkah Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyusup ke dalam hatiku sehingga benar-benar mengkehendakkan diri berjuang dalam paksi murni ini.Wadah perjuangan yang dilihat jijik pada pandangan sesetengah masyarakat umum dek kerana menggabungkan dua entiti iaitu agama dan siasah dalam satu bekas yang berisikan Islam. Puak-puak yang telah termakan dengan muntah-muntah sekularisme, para daei yang terhirup haruman bau-bauan fantasi lingkungan sendiri, pastinya tidak mampu mengucapkan tanda syukur berada di dalam wadah cinta ini.Iblis akan terus mencari helah memecahbelahkan keturunan Adam selagimana sang Adam dan Hawa terus ceria dibuai sepoi-sepoi angin sentimental tanpa keluar melihat realiti.

Alhamdulillah, aku bersyukur kerana dipilih Allah daripada sekalian banyak manusia di muka bumi untuk bergabung dalam cinta ini.Madrasah,Muktamar, Tamrin dan istilah baru lain menjadi makanan rohaniku dalam rantaian ini.Mulanya terasa janggal dan sedikit membosankan, namun, janaan roh dan semangat yang wujud dalam tautan doa wehdah, mengembalikan diriku ke dalam garis-garis perjuangan.

Akan kuusahakan agar rantaian ini tidak akan terputus sehingga sampainya ghayah terakhirku bertemu Allah. Gembira diriku melihat kekentalan jiwa-jiwa baru membawa dakwah perjuangan ini ke segenap pelosok alam.Kudoakan mereka terus tabah dan istiqamah dalam menjaga penjuru masing-masing demi melihat Islam diletakkan pada haknya.Sememangnya itulah janji Allah untuk mereka yang terpilih memegang erat panji ini. Aku mahu menjadi Zaid Bin Harithah.Aku mahu menjadi Jaafar bin Abu Talib, dan Abdullah Bin Rawwahah mempertahankan Islam ketika debu-debu daripada hentaman kaki kuda mereka menuju ke desa Mu’tah berdekatan Syam.Satu persatu syahid menjunjung agama Allah menentang tentera Kaisar Romawi.

Nah, telah lengkapkah aku sebagai seorang daei dan pejuang muslim berkelana di tanah Allah ini?Berjuang syadid bersama sahabat-sahabat, tiba-tiba pintu hatiku diketuk dengan makna sebuah cinta baru. Selama bertahun aku cuba berlari keluar daripada cinta ini, mengapa mereka bersungguh-sungguh bicara soal muslimin dan muslimat?Baitul Muslim??Ya, dalam maratib amal, keluarga Islam letaknya di tingkatan kedua.Tetapi mengapa perlu dicucuknya dua sarang tebuan ini bilamana kami komited memperjuangkan cinta bertasbih yang lebih besar maknanya??Tidak cukupkah rencana ‘Cinta Anta Anti’ dan ‘Aku Terima Nikahnya’ untuk membuatkan si Adam menilai kembali hasrat memetik cinta sang bunga melati?


Apa sudah jadi?Ada apa dengan Baitul Muslim?Mereka seakan-akan mahu menarik kami untuk keluar dari kepompong perjuangan amal Islami.Tertekan,ya memang kami tertekan dek kerana fokus kami sedikit terganggu dengan usaha ini. Adakah mereka mahu penzinaan hati terus menerus merosakkan dakwah setelah aku secara konsistennya menolak sebarang unsur-unsur Al-Hawa .Yang manis selalunya berakhir dengan pahit dan yang pahit pasti akan datang kemanisannya.

“Wah, jika ini yang dimomokkan sewaktu zaman jahiliyah dulu sudah tentu akulah orang pertama yang mengisi borang untuk diikat”Terdetik seketika suara hati aku bila seorang akhi begitu petah mencurahkan ilmu kekeluargaan Islam.

Aku tersilap.Benar, manusia itu mudah sungguh bersyak wasangka dan punya sikap terburu-buru dalam gerak-gerinya.Kisah Nabi Allah Adam misalnya, sekonyong-konyong mahu berdiri gagah bak perwira sewaktu belum sempat roh sampai ke seluruh jasad di perbaringan, membenarkan fitrah manusia yang sentiasa terburu-buru dalam mendepani kehidupan.

Nabi Adam diberikan dengan segala kemewahan dunia di syurga Allah. Kekayaan dan Halwa yang pastinya tidak dapat difikirkan hatta oleh ahli psikik mahupun psikologi.Lantaran itu, hati Nabi Allah Adam terasa kesunyiaan dan nampaknya segala hasil mahsyur melimpah ruah yang ditaburkan kepada Baginda tidak mampu mengubat perasaan rindu seorang kekasih Allah kepada sang pencinta bergelar Hawa. Sudah dalam pengetahuan Allah sejak azali lagi, fitrah seorang muslimin dijadikan di muka bumi adalah untuk si fulan bergelar muslimah dan hasil tulang rusuk Adamlah, terbinanya istana cinta berlandaskan Illahi.

Aku menyelami sirah cinta ini berulang kali.Diri ini cuba memahami siapa yang menguatkan siapa?Adakah Muslimin yang menguatkan seorang wanita ataupun sebaliknya?Barangkali kaum Adam tersilap jika berfikiran golongan kitalah yang menguatkan keazaman seorang Hawa. Sebenarnya tanpa muslimat, di mana harus kita mencari tulang rusuk untuk hidup?Tulang rusuk bagaimana yang melengkapkan anggota seorang muslimin?Itulah persoalan yang wajar diberi perhatian oleh golongan Adam.Persoalan yang tiba-tiba dilampirkan ke dalam hati ini bilamana melihat gejolak sosial membadai masyarakat Islam Malaysia.

Aku pasrah dan insaf dengan kelemahan diri.Rupa-rupanya, manis yang disuapkan oleh mereka bukanlah kemanisan yang akan membawa kepada kepahitan.Halwa yang sama-sama dipertahankan oleh mereka sejujurnya sama murni dan tulus maknanya dengan cinta takbir kami dalam perjuangan ini.

Tunjang kekuatan dakwah Rasulullah yang aku selami sirahnya tidak dapat tidak dipikul dengan bersungguh-sungguh oleh pejuang muslimah bernama Siti Khadijah.Baru kusedari kenapa air mata Rasulullah itu bisa gugur bilamana wafatnya Siti Khadijah meninggalkan Baginda keseorangan memegang tanggungjawab dakwah dalam kacau bilau masyarakat Jahiliyah Mekkah.Sekali lagi, menjadi sunnah yang telah ditetapkan Allah bagi seorang pejuang agama berkehendakkan Hawa.


Allah memahami isi benak dan hati seorang Adam dan diciptakan Muhammad dengan seorang teman baru bernama Aisyah. Walaupun Aisyah telah ditunangkan sejak kecil dengan seorang pemuda,namun takdir dan jodoh Ummul Mukminin ini telah tercatat untuk bersama Rasulullah.Tambah luluh hati ini bila memperhalusi kasihnya Saidina Abu Bakr kepada Rasulullah sehingga sanggup mengahwinkan anak perempuannya yang masih muda untuk memberi ketenangan hati buat Baginda..


Aku soroti lembaran surah An-Nur ayat ke -26 untuk cuba mentafsirkan kisah hebat cinta Rasulullah.

الْخَبِيثَـتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَـتِ

وَالطَّيِّبَـتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلْطَّيِّبَـتِ

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji(pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula).

Ku tatapi Sabda Rasulullah riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud; Seseorang wanita yang dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya,kerana kecantikannya,kerana keturunannya,kerana agamanya;Maka pilihlah yang taat beragama, kerana dia akan membimbing tanganmu”

Ramai sudah maklum tentang konotasi dan tafsiran dua ayat ini.Masing-masing punya tanggapan sendiri dan aku yakin ramai kaum Adam berkepinginkan muslimah harapan yang punya kesempurnaan seperti sempurnanya empat perkara yang digariskan dalam hadis di atas.Namun pernahkah semua terfikir bahawasa ayat-ayat ini mencampakkan beban yang berat tanggungjawabnya kepada manusia bergelar lelaki untuk memilih kekasih hidup?

Sungguh tidak kusangka bagaimana tabahnya hati Rasulullah mampu bertahan tatkala melihat Saidatina Aisyah ditohmah berulang kali dengan sahabat Baginda Safwan bin Al-Mu’attal.Lalu, ayat Surah An-Nur ini diturunkan bagi menjawab herdikan kaum-kaum yang melampaui batas ini.Jelas sekali, Saidatina Aisyah dipelihara maruahnya kerana berajakan seorang kekasih Allah.Aku menjadi tenang bila mampu mengaitkan kisah cinta Rasulullah ini dengan asbabul nuzul ayat.Cukup luas terbentang pengajaran sirah ini menunjukkan cara buat sang kumbang memilih bunga yang mekar dengan tasbih dan dipertunjangkan dengan akar tarbiyah. Sekali lagi aku terpana memandang diriku yang dhaif memilih teman hidup bertemakan kecantikan rupa semata-mata.

Formula kekuatan dan kekentalan dakwah Rasulullah mahu tidak mahu dibentengi oleh isteri-isteri Baginda. Jauh di sudut hatiku, menanam keazaman yang utuh untuk mencari muslimah sehebat Siti Khadijah, secekal Sang Humaira’ dan sejernih hati isteri-isteri Muhammad.Di mana mampu kucari Siti Khadijah?Si Merah Aisyah?Zainab dan lain-lainnya?

Pertanyaan itu terus bermain-main di benakku sehingga jawapannya cukup sukar untuk menjawab pelbagai kebobrokan yang menghantui institusi kekeluargaan baik buat mereka bukan Islam,yang Islam mahupun seorang duat yang gigih mempertahankan agama Allah. Kumencari di mana jawapan kepada persamaan matematika yang cukup sukar diselesaikan ini.

Di sana, kutemui satu harapan baru ke arah menyelamatkan tamadun ummah.Cukup hebat penolong agama Allah, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menyusun tingkatan maratib amal yang bukan hanya sebagai gagasan semata-mata tetapi bagi menjadikan ia praktikaliti dan salah satu bahtera penyelamat kepada institusi Baitul Muslim yang selama ini menjadi bahan senyum tawa muslimin.

Kusedari perjalanan dakwah ini akan sentiasa dibuai dengan kekosongan konsonan cinta selagimana diri ini tidak memperbaharui niat dan memahami kepentingan membina sebuah keluarga Islam yang di dalamnya tertiup roh iman,islam dan ihsan.

Tarbiyah dan pengalaman yang aku peroleh selama ini akan hanya menjadi igauan semata-mata tanpa kucurahkan kepada bakal pencinta yang sebenar. Alhamdulillah, apa yang kuperlukan kini hanya iringan doa agar bakal temah hidupku menjadi rakan penyejuk mata,penenang jiwa sebagaimana Siti Khadijah,Saidatina Aisyah dan lain-lainnya melayari bahtera dakwah Rasulullah.Kumohon agar muslimah yang bakal menjadi suri rumahtanggaku tidak melalaikan daku daripada tanggungjawab mengisi tugas-tugas Jundullah.Moga ikatan itu nanti akan menambah seri dalam kehidupan beragamaku dan mempelbagaikan seni dakwah perjuangan sehinggalah diri ini kaku menyembah bumi Allah.


Friday 11 July 2008

Akhirnya Beliau Bersuara : Suara Kritis yang ditunggu-tunggu..TAHNIAH!!

Salam sekali lagi,

TG Hadi Awang akhirnya bersuara.Kali ini pandangannya nampak lebih serius dan kritikal.Beliau tidak mahu beretorik dan terus berdiam diri dengan suasana Malaysia pasca PRU-12.

Baca dan fahami dengan baik luahan hati beliau.Selami bait-bait jawapannya kerana banyak yang rakyat Malaysia dan Pakatan rakyat perlu belajar daripada perjuangan PAS.

Wassalam

Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat
Harakahdaily
Fri | Jul 11, 08 | 12:40:09 pm MYT

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi._

23 Jun 2008 - 6 Tahun selepas Pemergian Beliau

Salam buat pembaca,

Fadzil Noor,satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia politik tanah air hatta dalam rantaian dakwah Islamiyyah antarabangsa.

Kini sudah 6 tahun para daei kehilangan beliau, dan PAS terus memacu hebat ke hadapan hasil legasi yang direncanakan watak yang cukup berdedikasi ini.

Hayati petikan video di bawah ini bagi menyelami kehidupan seorang Jundullah hebat Malaysia ini.

Wassalam