Tuesday 15 July 2008

Aku berpermaisurikan Mujahidah,Dia berajakan Mujahid

Entah kenapa telah kugagahi dunia ini sejauh perjalanan, serentang langit membiru, namun, seakan tidak kutemu jalan pengakhirannya.Hati ini sekilas terasa gundah.Haru biru.Kacau bilau dan pelbagai lagi istilah dan frasa yang sukar diterjemah hitam putihnya.Seolah-olah tidak kutemui konsonan cinta kepada dakwah perjuangan yang selama ini aku tunjangi begitu gigih dan tulus.

Telah kusoroti lembaran wacana penulis ‘Cinta Anta Anti’ beberapa tahun lalu, dan sememangnya aku bersetuju dan selama-lamanya akan bersetuju bahawasanya dakwah seorang daei tidak harus dibaurkan dengan maksiat hati dan fitnah duniawi. Tidak juga kukesampingkan karangan ulama’ muda berjudul ‘Aku Terima Nikahnya’. Ya, aku mengangkat tangan tanda sebuah penerimaan realiti kehidupan yang Allah ciptakan fitrahnya sejak azali lagi.

“Alahai hang muda lagi, enjoylah dulu.Kahwin-kahwin ni banyak masa lagi”.”Takpalah, hang dah berumuq, hanglah patut kahwin dulu.Aku banyak masa lagi Lagipun aku sibuklah berkerja/berdakwah”.Skema jawapan kepada erti sebuah pernikahan sering terngiang-ngiang di gegendang telinga ini.Alasan masa dan waktu menjadi tembok pemisah kepada jawapan yang cukup besar maknanya iaitu,membina sebuah benteng kepada gelombang Iblis.

“Pak dan mak tengah jenguk album Angah waktu kecil dulu.Tak sempat mak dan pak bermesra dan berkasih sayang dengan Angah, belilah Mercedes dulu kat mak, lepas tu nak kahwin,kahwin lah”. Suara hati Ibu cuba mengelak bila diutarakan soalan cepu emas.Bilamana kerisauan ibu dan ayah berbicara soal kasih,boleh pula seorang anak secara nakal membayangkan hasrat perceraian cinta anak dengan ibubapa. Hati mana yang tidak tersentuh bila dua manusia yang selama ini membelai kita bagai menatang minyak yang penuh, menegaskan ayat-ayat cinta mereka secara berhikmah.Aku terkesima lagi.

Bertahun lamanya aku langkahi bumi ini.Ta’lim,Usrah, Daurah, qiam, jaulah,rehlah,katebah semuanya telah kutempuh.Semuanya merubah persepsi diriku melihat dunia dan menerobos makna mengapa aku menganut agama suci Islam.

Tiba-tiba datang bahana membuatkan diriku beruzlah dan menyendiri sepertimana khulwahnya sahabat Nabi,Abu Dzar berlari daripada lemparan fitnah zaman pemerintahan Saidina Uthman.Kukira dengan mengasingkan diri daripada kekalutan berbilang jemaah,mampu memberi ketenangan untuk aku terus menjadi abid dan hamba Allah yang lebih bertaqwa demi mengelak terus terjerumus ke dalam medan fitnah. Sekilas aku menatap kitab Al-Muntalaq dan hatiku terpaut kepada tajuk Ahli Ibadah yang bermain-main. Terasa diri ini kerdil semula,tanpa pengorbanan kepada ummah. Semakin kulari dari amukan dan kecamuk masyarakat semakin berat tanggungan beban di bahu aku sehingga air mata pun tidak bisa mengqabulkan doa seorang abid!! Itulah sinopsis ringkas yang mampu kuekstrakkan helaian juzuk-juzuk daripada kitab ini.

Entah darimana datangnya satu roh baru, warkah Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyusup ke dalam hatiku sehingga benar-benar mengkehendakkan diri berjuang dalam paksi murni ini.Wadah perjuangan yang dilihat jijik pada pandangan sesetengah masyarakat umum dek kerana menggabungkan dua entiti iaitu agama dan siasah dalam satu bekas yang berisikan Islam. Puak-puak yang telah termakan dengan muntah-muntah sekularisme, para daei yang terhirup haruman bau-bauan fantasi lingkungan sendiri, pastinya tidak mampu mengucapkan tanda syukur berada di dalam wadah cinta ini.Iblis akan terus mencari helah memecahbelahkan keturunan Adam selagimana sang Adam dan Hawa terus ceria dibuai sepoi-sepoi angin sentimental tanpa keluar melihat realiti.

Alhamdulillah, aku bersyukur kerana dipilih Allah daripada sekalian banyak manusia di muka bumi untuk bergabung dalam cinta ini.Madrasah,Muktamar, Tamrin dan istilah baru lain menjadi makanan rohaniku dalam rantaian ini.Mulanya terasa janggal dan sedikit membosankan, namun, janaan roh dan semangat yang wujud dalam tautan doa wehdah, mengembalikan diriku ke dalam garis-garis perjuangan.

Akan kuusahakan agar rantaian ini tidak akan terputus sehingga sampainya ghayah terakhirku bertemu Allah. Gembira diriku melihat kekentalan jiwa-jiwa baru membawa dakwah perjuangan ini ke segenap pelosok alam.Kudoakan mereka terus tabah dan istiqamah dalam menjaga penjuru masing-masing demi melihat Islam diletakkan pada haknya.Sememangnya itulah janji Allah untuk mereka yang terpilih memegang erat panji ini. Aku mahu menjadi Zaid Bin Harithah.Aku mahu menjadi Jaafar bin Abu Talib, dan Abdullah Bin Rawwahah mempertahankan Islam ketika debu-debu daripada hentaman kaki kuda mereka menuju ke desa Mu’tah berdekatan Syam.Satu persatu syahid menjunjung agama Allah menentang tentera Kaisar Romawi.

Nah, telah lengkapkah aku sebagai seorang daei dan pejuang muslim berkelana di tanah Allah ini?Berjuang syadid bersama sahabat-sahabat, tiba-tiba pintu hatiku diketuk dengan makna sebuah cinta baru. Selama bertahun aku cuba berlari keluar daripada cinta ini, mengapa mereka bersungguh-sungguh bicara soal muslimin dan muslimat?Baitul Muslim??Ya, dalam maratib amal, keluarga Islam letaknya di tingkatan kedua.Tetapi mengapa perlu dicucuknya dua sarang tebuan ini bilamana kami komited memperjuangkan cinta bertasbih yang lebih besar maknanya??Tidak cukupkah rencana ‘Cinta Anta Anti’ dan ‘Aku Terima Nikahnya’ untuk membuatkan si Adam menilai kembali hasrat memetik cinta sang bunga melati?


Apa sudah jadi?Ada apa dengan Baitul Muslim?Mereka seakan-akan mahu menarik kami untuk keluar dari kepompong perjuangan amal Islami.Tertekan,ya memang kami tertekan dek kerana fokus kami sedikit terganggu dengan usaha ini. Adakah mereka mahu penzinaan hati terus menerus merosakkan dakwah setelah aku secara konsistennya menolak sebarang unsur-unsur Al-Hawa .Yang manis selalunya berakhir dengan pahit dan yang pahit pasti akan datang kemanisannya.

“Wah, jika ini yang dimomokkan sewaktu zaman jahiliyah dulu sudah tentu akulah orang pertama yang mengisi borang untuk diikat”Terdetik seketika suara hati aku bila seorang akhi begitu petah mencurahkan ilmu kekeluargaan Islam.

Aku tersilap.Benar, manusia itu mudah sungguh bersyak wasangka dan punya sikap terburu-buru dalam gerak-gerinya.Kisah Nabi Allah Adam misalnya, sekonyong-konyong mahu berdiri gagah bak perwira sewaktu belum sempat roh sampai ke seluruh jasad di perbaringan, membenarkan fitrah manusia yang sentiasa terburu-buru dalam mendepani kehidupan.

Nabi Adam diberikan dengan segala kemewahan dunia di syurga Allah. Kekayaan dan Halwa yang pastinya tidak dapat difikirkan hatta oleh ahli psikik mahupun psikologi.Lantaran itu, hati Nabi Allah Adam terasa kesunyiaan dan nampaknya segala hasil mahsyur melimpah ruah yang ditaburkan kepada Baginda tidak mampu mengubat perasaan rindu seorang kekasih Allah kepada sang pencinta bergelar Hawa. Sudah dalam pengetahuan Allah sejak azali lagi, fitrah seorang muslimin dijadikan di muka bumi adalah untuk si fulan bergelar muslimah dan hasil tulang rusuk Adamlah, terbinanya istana cinta berlandaskan Illahi.

Aku menyelami sirah cinta ini berulang kali.Diri ini cuba memahami siapa yang menguatkan siapa?Adakah Muslimin yang menguatkan seorang wanita ataupun sebaliknya?Barangkali kaum Adam tersilap jika berfikiran golongan kitalah yang menguatkan keazaman seorang Hawa. Sebenarnya tanpa muslimat, di mana harus kita mencari tulang rusuk untuk hidup?Tulang rusuk bagaimana yang melengkapkan anggota seorang muslimin?Itulah persoalan yang wajar diberi perhatian oleh golongan Adam.Persoalan yang tiba-tiba dilampirkan ke dalam hati ini bilamana melihat gejolak sosial membadai masyarakat Islam Malaysia.

Aku pasrah dan insaf dengan kelemahan diri.Rupa-rupanya, manis yang disuapkan oleh mereka bukanlah kemanisan yang akan membawa kepada kepahitan.Halwa yang sama-sama dipertahankan oleh mereka sejujurnya sama murni dan tulus maknanya dengan cinta takbir kami dalam perjuangan ini.

Tunjang kekuatan dakwah Rasulullah yang aku selami sirahnya tidak dapat tidak dipikul dengan bersungguh-sungguh oleh pejuang muslimah bernama Siti Khadijah.Baru kusedari kenapa air mata Rasulullah itu bisa gugur bilamana wafatnya Siti Khadijah meninggalkan Baginda keseorangan memegang tanggungjawab dakwah dalam kacau bilau masyarakat Jahiliyah Mekkah.Sekali lagi, menjadi sunnah yang telah ditetapkan Allah bagi seorang pejuang agama berkehendakkan Hawa.


Allah memahami isi benak dan hati seorang Adam dan diciptakan Muhammad dengan seorang teman baru bernama Aisyah. Walaupun Aisyah telah ditunangkan sejak kecil dengan seorang pemuda,namun takdir dan jodoh Ummul Mukminin ini telah tercatat untuk bersama Rasulullah.Tambah luluh hati ini bila memperhalusi kasihnya Saidina Abu Bakr kepada Rasulullah sehingga sanggup mengahwinkan anak perempuannya yang masih muda untuk memberi ketenangan hati buat Baginda..


Aku soroti lembaran surah An-Nur ayat ke -26 untuk cuba mentafsirkan kisah hebat cinta Rasulullah.

الْخَبِيثَـتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَـتِ

وَالطَّيِّبَـتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلْطَّيِّبَـتِ

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji(pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula).

Ku tatapi Sabda Rasulullah riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud; Seseorang wanita yang dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya,kerana kecantikannya,kerana keturunannya,kerana agamanya;Maka pilihlah yang taat beragama, kerana dia akan membimbing tanganmu”

Ramai sudah maklum tentang konotasi dan tafsiran dua ayat ini.Masing-masing punya tanggapan sendiri dan aku yakin ramai kaum Adam berkepinginkan muslimah harapan yang punya kesempurnaan seperti sempurnanya empat perkara yang digariskan dalam hadis di atas.Namun pernahkah semua terfikir bahawasa ayat-ayat ini mencampakkan beban yang berat tanggungjawabnya kepada manusia bergelar lelaki untuk memilih kekasih hidup?

Sungguh tidak kusangka bagaimana tabahnya hati Rasulullah mampu bertahan tatkala melihat Saidatina Aisyah ditohmah berulang kali dengan sahabat Baginda Safwan bin Al-Mu’attal.Lalu, ayat Surah An-Nur ini diturunkan bagi menjawab herdikan kaum-kaum yang melampaui batas ini.Jelas sekali, Saidatina Aisyah dipelihara maruahnya kerana berajakan seorang kekasih Allah.Aku menjadi tenang bila mampu mengaitkan kisah cinta Rasulullah ini dengan asbabul nuzul ayat.Cukup luas terbentang pengajaran sirah ini menunjukkan cara buat sang kumbang memilih bunga yang mekar dengan tasbih dan dipertunjangkan dengan akar tarbiyah. Sekali lagi aku terpana memandang diriku yang dhaif memilih teman hidup bertemakan kecantikan rupa semata-mata.

Formula kekuatan dan kekentalan dakwah Rasulullah mahu tidak mahu dibentengi oleh isteri-isteri Baginda. Jauh di sudut hatiku, menanam keazaman yang utuh untuk mencari muslimah sehebat Siti Khadijah, secekal Sang Humaira’ dan sejernih hati isteri-isteri Muhammad.Di mana mampu kucari Siti Khadijah?Si Merah Aisyah?Zainab dan lain-lainnya?

Pertanyaan itu terus bermain-main di benakku sehingga jawapannya cukup sukar untuk menjawab pelbagai kebobrokan yang menghantui institusi kekeluargaan baik buat mereka bukan Islam,yang Islam mahupun seorang duat yang gigih mempertahankan agama Allah. Kumencari di mana jawapan kepada persamaan matematika yang cukup sukar diselesaikan ini.

Di sana, kutemui satu harapan baru ke arah menyelamatkan tamadun ummah.Cukup hebat penolong agama Allah, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menyusun tingkatan maratib amal yang bukan hanya sebagai gagasan semata-mata tetapi bagi menjadikan ia praktikaliti dan salah satu bahtera penyelamat kepada institusi Baitul Muslim yang selama ini menjadi bahan senyum tawa muslimin.

Kusedari perjalanan dakwah ini akan sentiasa dibuai dengan kekosongan konsonan cinta selagimana diri ini tidak memperbaharui niat dan memahami kepentingan membina sebuah keluarga Islam yang di dalamnya tertiup roh iman,islam dan ihsan.

Tarbiyah dan pengalaman yang aku peroleh selama ini akan hanya menjadi igauan semata-mata tanpa kucurahkan kepada bakal pencinta yang sebenar. Alhamdulillah, apa yang kuperlukan kini hanya iringan doa agar bakal temah hidupku menjadi rakan penyejuk mata,penenang jiwa sebagaimana Siti Khadijah,Saidatina Aisyah dan lain-lainnya melayari bahtera dakwah Rasulullah.Kumohon agar muslimah yang bakal menjadi suri rumahtanggaku tidak melalaikan daku daripada tanggungjawab mengisi tugas-tugas Jundullah.Moga ikatan itu nanti akan menambah seri dalam kehidupan beragamaku dan mempelbagaikan seni dakwah perjuangan sehinggalah diri ini kaku menyembah bumi Allah.


1 comment:

Anonymous said...

opSeronok baca post yg tarbawi. ana berminat bila nta cerita perasaan nta dalam tarbiyah. cerita pasal bait muslim ni, ana doakan nta jumpa muslimah yg terbaik utk nta. yg dapat memacu, bkn membantut dakwah. Ana doakan nta tsabat dlm jln dakwah. tetap walau apa pun terjadi. kongsi tips: tiap2 hari doalah - "Ya Allah tunjukkanlah aku kebenaran & kemampuan untuk m'ikutnya, dan tunjukkanlah aku kebatilan dan kemampuan utk tinggalkannya."

Salam