Monday 4 August 2008

Islam dan Demokrasi : Kupasan Wacana Ilmiah



Buku Islam dan Demokrasi,hasil buah tangan pemimpin tertinggi Parti Islam Se-Malaysia membawa jauh masyarakat menyoroti kekuatan yang wujud dalam sistem Islam yang ternyata seimbang hatta lebih baik daripada sistem demokrasi ciptaan Barat.

Penulis cuba menyelongkar secara mendalam istilah demokrasi yang selama ini diagungkan oleh dunia di samping mencetuskan semula gagasan Islam yang dilihat selari dengan sistem rekaan manusia ini. Penulis tidak menolak secara menyeluruh konsep lahiriah demokrasi itu sendiri kerana beliau menegaskan bahawasanya sistem ini telah lama diperkenalkan oleh Islam sejak dahulu lagi, perbezaannya cuma dari segi penggunaan istilah tetapi praktikalnya sangat intim dengan sistem ini.

Seringkali penulis menyuarakan nilai positif yang boleh diambil daripada demokrasi celupan Barat, tetapi menekankan bahawasanya demokrasi yang dikendalikan harus berrpaksikan demokrasi terpimpin.Apa itu demokrasi terpimpin?

Demokrasi terpimpin di samping membenarkan fitrah manusia untuk bebas memilih,turut memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan pandangan dan kritik membina dalam membahaskan dasar negara. Namun,di pengakhirannya, resolusi yang dicapai harus dinilai mengikut tahap kekuatan hujah(pro dan kontra), ketinggian martabat ilmu dan keserasian tindakan mengikut waqi’ dan suasana semasa tanpa menidakkan suara majoriti. Justeru itu, tidak dapat dinafikan lagi, Al-Quran dan As-Sunnah-lah wajar menjadi perlembagaan rujukan kepada seluruh manusia memandangkan hujah-hujahnya membatasi sempadan zaman.

Di sinilah penulis mahu pembaca bermuhasabah semula bahawasanya Islam mengangkat martabat suara rakyat tetapi gelombang itu tidak wajar sama sekali dibandingkan dengan suara Tuhan memandangkan fitrah manusia yang jauh daripada sifat kesempurnaan. Demokrasi adalah satu sistem yang murni tetapi malangnya tangan-tangan penciptanya telah menodai kesuciaan suara rakyat ini lebih-lebih lagi apabila gerakan Islam mula membuka pintu ijtihad untuk menyertai pilihan raya berlandaskan sistem ini.

Penulis juga menjawab beberapa tohmahan segelintir umat Islam yang mempertikaikan sistem demokrasi kerana dianggap tidak islamik.Di samping itu, beliau turut mengkritik cara pelaksanaan demokrasi ala-Barat yang meruntuhkan sistem itu sendiri.Contoh yang diambil masa silam adalah bagaimana Parti Masyumi dan Nahdatul Ulama di bawah pimpinan Dr. Mohammad Nasir yang pernah menegakkan sebuah kerajaan di Indonesia hasil kemenangan pada tahun 1955, digulingkan bukan kerana penyelewengan atau rasuah yang berlaku tetapi bagi menghalang pengaruh Islam di Indonesia pada ketika itu.Hal ini turut berlaku di Malaysia bilamana Terengganu dan Kelantan berjaya ditawan, ada sahaja polemik sehingga terjunamnya kerajaan Terengganu pimpinan Parti Islam Se-Malaysia ketika itu.

Dengan penggunaan bahasa yang mudah dan meyakinkan, saya rasa buku ini harus dimiliki oleh semua duat dan aktivis Islam untuk mendapatkan gambaran jelas kepada ikhtiar gerakan Islam untuk menyertai pilihan raya acuan Barat ini.Dengan kata mudah, rujukilah buah tangan ini di toko-toko buku berdekatan untuk menyelami sendiri maksud sebenar politik dalam Islam.

Tertarik dengan hadith Rasulullah yang sering diulang-ulang dalam buku ini.

‘Kebijaksanaan(Hikmah) itu adalah barang yang tercicir kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak memiliknya’

Adakah kita benar-benar menggunakan kurniaan akal bijaksana kita untuk kebangkitan Islam?

Friday 1 August 2008

Debat PDI Perjuangan dan PKS : Wakil Muda atau Tua

Salam buat semua pembaca,

Menarik.Mungkin itu ungkapan pertama yang bakal terpacul daripada setiap penonton rancangan ini kerana di malaysia agak kurang peluang berdebat secara terbuka begini.

PDI Perjuangan walaupun berlandaskan nasionalis dan diikat kuat dengan pengaruh Soekarno, mempertaruhkan wakil yang lebih tenang dan matang dalam berhujah.Walaubagaimanapun,hujah PDI Perjuangan agak kabur dan lebih banyak mempersoalkan apa yang dilaksanakan oleh PKS dalam koalisi kerajaan sekarang daripada perkara pokok perdebatan.

PKS pula dilihat ada kekuatan hujah dan agak vokal menyuarakan kepentingan wakil presiden dari kalangan anak muda.Mereka sejujurnya ada mekanisme ke arah membangunkan sebuah negara bangsa Indonesia.Sayangnya kerana ingin mempertahankan hujah bermati-matian,mereka nampak gugup di permulaan debat sehingga moderator di pihak PKS semacam sedikit bias kepada PDI Perjuangan.
Agak rugi buat PKS kerana walaupun hujahnya utuh namun, akibat kegopohan menyampaikan isi telah sedikit sebanyak menganggu persembahan dalil-dalil yang mereka kemukakan.Suara anak muda mungkin....

Apa-apapun, saya masih kagum dengan karisma dan keupayaan Saudara Anwar Ibrahim dalam mengemukakan hujah dalam debat turun harga minyak baru-baru ini.Dengan hujah yang kritikal dan mapan,ditambah lagi ketenangan air muka sewaktu berucap di hadapan khalayak ramai, beliau telah berjaya meyakinkan rakyat marhaen Malaysia bahawasanya harga minyak memang boleh turun walaupun realitinya mungkin sedikit sukar.

Selamat Menonton.

Wassalam


Siri 1




Siri 2



Siri 3


Siri 4


Siri 5