Saturday 24 October 2009

Hargai nilai persaudaraan dan kekeluargaan kerana di situ titik ukhuwwah

Salam semua,

Jika sebelum ini,blog ini agak lengang dengan pengisian,namun pada hari ini,tiba-tiba sahaja, jari-jemari ini mahu mencoretkan sedikit kenangan buat seorang sahabat yang cukup banyak mencurah bakti/motivasi dan buah fikiran kepada sahabat-sahabat yang bermastautin di negara Palang Merah Putih khususnya aku secara peribadi.

Sahabatku ini hanya kukenal tidak sampai 4 tahun,Komunikasi kami tidaklah seakrab rakan karib di zaman persekolahan...Tidak serapat jari-jemari yang menekan punat papan kekunci ini kalau begitulah yang mampu kuungkapkan tentang persahabatan kami..

Dia tidak pernah memberi aku wang untuk aku berbelanja,tidak pernah pula dia berkongsi sebarang rahsia mahupun membayar komisen daripada tulisan aku ini...

Namun, ada satu kekuatan dalam diri beliau yang membuatkan aku ingin berkongsi dengan sahabat pembaca sekalian.

Mungkin ramai melihat bahawa di luar sana, masih ramai pejuang, da'ei, dan murabittun yang banyak berkorban untuk masyarakat dan ummah. Walaubagaimanapun, tidak ramai tahu bahawa pengorbanan itu nilainya tidak mampu dibayar dengan harga nyawa sekalipun kerana ia lahir dari ketulusan hati dan kemurniaan jiwa membina rantaian perjuangan..

Kerna itu, jika mahu dipersoalkan berapa banyak yang kita telah sumbangkan kepada ummah, muhasabahlah semula sejauh mana kita mampu membayar harga yang cukup mahal untuk berkorban dan terkorban...Itulah pesanan yang terkeluar daripada bibit-bibit mulut sahabatku ini sewaktu pertemuan usrah satu masa dahulu.

Aku langsung tidak menjangkakan jenaka aku yang tidak dibalas dengan jawapan tatkala bertanyakan tentang pembinaan masjid , rupa-rupanya terjawab dengan sendirinya bilamana aku menerima khabar kemuruduman kesihatan beliau..

Allah tidak pernah menguji seseorang di luar kemampuan mereka...Kerana mengecap haruman syurga itu tidak pernah mudah..

Dalam masa 5 hari lagi, sahabatku ini akan sekali lagi bertarung nyawa untuk menghadapi satu kemoterapi dos berskala tinggi dan pemindahan sel sum sum tulang.

Kali ini, jalannya mungkin akan lebih berliku dan tidak aku ketahui apakah kesan sampingan seterusnya yang akan berlaku hasil kemoterapi ini.

Apa-apapun, aku sebagai anak buah beliau sekadar ingin mengucapkan salam bahagia dan rahmat buatnya semoga dengan kemoterapi ini dapat beliau sembuh dengan cepat dan kembali ke gelanggang dakwah dan perjuangan ini dengan kental dan bersemangat waja persis pedang Allah, Khalid Al-Walid .

Aku ingin menghargai segala didikan dan tunjuk ajar yang akhi telah berikan sepanjang tempoh perkenalan kita.InshaAllah akan aku titipkan doa buatmu semoga dapat menghadapi tempoh-tempoh kesukaran itu nanti dengan sempurna dan baik.

Disisipkan diari kehidupan beliau yang dimaksudkan;

Not the primose path...

Tidak cukup sekiranya aku menulis tentang sahabat ini jika tidak aku kaitkan dengan perjalanan kehidupan aku. Bila disingkap kembali sejarah keluarga aku dulu, terkenang akan apa yang terjadi kepada ayahku. Aku masih ingat, pak pernah berbicara kepadaku tentang bagaimana sukarnya menghadapi maut tatkala bergelumang dengan penyakit sebesar ini.

Mereka yang pernah bersepak terajang dengan penyakit kanser atau pra-kanser pasti ada jawapan yang tak mampu diungkapkan. Begitu besar ujian yang menimpa mereka yang berpenyakit ini bak kata pepatah, Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikulnya.

Alhamdulillah, pak selamat daripada penyakit berbahaya yang dihadapinya itu.Walaupun diagnos daripada doktor di bandaraya negara orang putih itu tidak menyatakan penyakit apa yang dihadapi oleh pak ketika itu, namun, Allah sahaja perancang yang terbaik. Masakan tidak, perancangan manusia itu tidak pernah tepat,doktor yang merawat dengan keyakinan tinggi menjangkakan kesihatan ayahku itu berada pada tahap yang sangat kritikal dan tidak harus dibawa pulang ke Malaysia.

Aku akui,ayahku bukanlah ayah yang terbaik di dunia,bukan juga manusia yang punya jiwa sekental pendakwah. Namun, atas keyakinan beliau kepada Allah dan kepercayaan/ketaatan yang diletakkan kepada ibu dan ayah, pak pulang bersama mak ke Malaysia membawa abang di pangkuan dan aku di dalam kandungan serta meneruskan rawatan di hospital tempatan diselangseli dengan rawatan tradisional.
Alhamdulillah, hari ini, tipulah jika aku katakan bahawa aku tidak bahagia bersama mak dan pak serta adik-beradikku.

Walaupun, penyakit itu menjangkiti arwah mak saudaraku, namun, pastinya ada hikmah akan pemergian arwah mak su dan tidak perlulah aku coretkan ia di sini kerana pastinya ia akan cukup menjadi satu novel kehidupan yang panjang berjela-jela.

Cukup sahaja aku katakan,drama-drama yang mengisi slot rancangan di kaca televisyen itu barangkali ada persamaannya dengan salah satu plot cerita dalam perjalanan kehidupan aku ketika ini.

Apa yang pasti, aku berharap baik keluarga aku,dan keluarga anda yang membaca coretan ini akan terus berada di landasan yang betul untuk mencapai keredhaan Allah. Jangan sesekali kita menyangka bahawa kesenangan hari ini tidak akan ditarikbalik oleh Allah, dan jangan pula kita menganggap kesukaran itu datang semata-mata musibahnya dari Allah. Berhentilah untuk berterusan menyalahkan takdir atas kelemahan diri kita sebagai hamba-Nya yang naif.

Yakinlah setiap kesukaran itu ada kelapangan.Moga persaudaraan dan keluarga Islam yang diimpikan oleh setiap mereka yang mengucap syahadah akan terus istiqamah memancarkan cahaya agama Allah dan memegang erat ikatan ini kerana di situ bermulanya titik ukhuwwah..

Wassalam

MZZ

No comments: