Tuesday 20 October 2009

Meraih kesempatan dalam kesempitan

Salam semua,

Kehidupan ini tidak siapa yang dapat menjangka pasang dan surutnya rezeki manusia. Maha Pencipta yang punya kekuatan memegang setiap ubun-ubun hamba-Nya, Dia-lah menjadi titik pertemuan dan kesatuan seluruh manusia yang mengakui ke-esaan-Nya.

Kerana itu hamba yang benar-benar ikhlas dan tawadduk menilai realiti kehidupan, setiap rezeki dan musibah, sentiasa sahaja dijadikan cermin dan sempadan bagi memperbaiki hubungan mereka dengan Pencipta-nya serta makhluk yang dicipta oleh-Nya.

Aku menulis pada hari ini bukan kerana mahu meraih simpati atau membuka pekung di dada, cuma mahu hadir di alam maya ini, memberi buah ingatan kepada sahabat-sahabat tentang erti meraih kesempatan dalam kesempitan.

Alhamdulillah,selama aku hidup 23 tahun di bumi Allah ini, rezeki yang melimpah ruah Allah kurniakan, berjaya aku jarahi serta lombongi untuk merasai nikmat duniawi yang sementara cuma. Nikmat ini kumanipulasi sebaik mungkin supaya aku dapat meraih cinta dan redha-Nya di akhirat nanti.

Namun, bak kata orang, mendung tidak semestinya hujan, panas tak semestinya kemarau. Hampir 5 bulan aku melihat hati ini semakin dikikis imannya. 2 bulan di bumi Queen Elizabeth dan kini mencecah 3 bulan pula di tanah Suvarnabumi, Malaysia,tidak pernah aku rasai diri ini semacam tidak berfungsi langsung untuk membantu ummat dan Islam. Apa yang aku perhatikan dalam sela masa 5 bulan ini, hidupku penuh dengan melayan kehendak jasmaniku, sehingga dapat kudalami denyut nadi ini seolah meronta-ronta kepada jasmaniku agar dapat berhenti daripada terus menzalimi kehendak ruhiyahku.

Aku sedang diuji oleh Allah tentang kesempitan..

Benar kata-kata sahabat lama,segala perancangan dan strategi hitam putih akan nampak seakan-akan berhasil di alam realiti,tetapi cuba campakkan ia ke dunia sebenar, barulah diketahui di mana kekurangan dan kekuatan yang lahir daripada pelan tersebut,bahkan boleh jadi projek gajah putih yang tiada hasilnya.Aku sentiasa optimis bahawa aku mampu menggapai setiap impian yang berada di dalam lingkungan pengaruh serta kawalanku. Malangnya, untuk kali ini, seakan-akan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Allah sedang berbicara kepadaku tentang kesempitan..

Aku mahukan semuanya dalam hidup ini. Aku bercita-cita besar mahu mencapai kekuatan ekonomi yang stabil dalam masa yang singkat;pangkat tinggi,gaji lumayan, rumah mewah,bakal isteri dan anak-anak yang soleh dan musleh, agar saham dunia ini mampu kusalurkan kepada ummat agar menjadi hujah buatku di hadapan mahkamah Allah kelak apa sumbangan hamba-Nya ini kepada Islam dan ummat-Nya.Namun,

Kesempitan itu sedang memamah hatiku..

Tenanglah wahai hati, Pak pernah berkata, "Di dalam dunia ini, tidak semua perkara yang kita mahukan dapat kita miliki dalam sekelip mata ataupun sekaligus. Jika ia berlaku, itulah namanya rezeki", Kata-kata Pak petang itu, benar-benar menusuk ke kalbu tatkala ayahku ini rungsing bilamana melihatkan karenah si anak yang acapkali merungut soal rezeki Tuhan-nya.

Ya Allah Ya Rabbi, aku mohon Engkau ampunkan segala rungutan aku terhadap apa yang Engkau kurniakan kepada hamba-Mu ini.

Ya Allah, Ya Aziz Yang Maha Mulia, aku pohon jika Engkau rahmati amal yang hamba-Mu ini sedang giatkan, maka Engkau permudahkan amal aku ini.

Ya Allah, Ya Sami' Yang Maha Mendengar, aku pohon jika urusan yang aku tekadkan ini baik untuk agamaku, sempurna untuk imanku, mulia untuk kehidupan dunia dan akhiratku, makmur untuk keluarga dan kerabat yang bakal aku bina, maka Engkau kurniakanlah pintu rezeki yang terbuka dan jalan yang luas untuk aku menggapai cita-cita akhirat aku yang seringkali diganggugugat virus-virus hati.

Izinkanlah Ya Allah aku meraih kesempatan dalam kesempitan ini, agar aku dapat menjadi hamba-Mu yang sentiasa dekat dan menyayangi diri-Mu samaada ketika sukar mahupun senang nanti.

Jadikanlah kesempitan ini ruang untuk aku muhasabah diri dan kesempatan untuk aku menjadi hamba yang lebih kuat menghadapi badai duniawi.

Allah, tiada lagi tempat pergantungan yang mampu aku pinta hanya kepada-Mu Tuhan sekalian alam.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

MZZ

No comments: