Monday 9 November 2009

Mengurus Persepsi atau Melawan Fitnah?

Salam buat pembaca,

Mungkin ramai yang telah mendengar dan menilai sendiri resolusi hasil daripada seminar yang dianjurkan oleh kepimpinan PAS di Gombak baru-baru ini. Walaupun cuma membaca dan mendengar melalui media, seminar memperkasakan parti yang dianjurkan ini dilihat cuba menerobos secara tulus dan halus bagi menggarap hasil positif ke arah mempertingkatkan kebolehupayaan kepimpinan PAS memimpin politik Malaysia.Masing-masing punya pendapat sendiri, namun, bak kata orang,rumah sudah siap,pahatnya masih berbunyi...

Nah, sekali lagi saya melihat seminar ini sekadar mahu menutup mulut mereka yang berterusan mencetuskan persepsi sehingga ia menimbulkan kononnya wujud realiti apa yang dicetuskan itu. Itulah yang dikatakan fitnah dan bukannya persepsi.

Sahabat-sahabat yang dihormati,

PAS merupakan sebuah organisasi dan wadah yang berpaksikan ajaran Islam dan kita percaya Islam itu sifatnya anjal dan fleksibel. Sejarah telah menunjukkan banyak tangan-tangan ghaib( mengambil ayat daripada Dr. Asri sewaktu ditangkap dulu) yang iri hati dengan jentera tarbiyah dan keupayaan persatuan ini membentuk pemikiran dan ideologi ahli-ahlinya. Namun, sehingga kini, tangan-tangan itu tidak berjaya melawan kekuatan tangan Allah yang menyelamatkan gagasan persatuan ini daripada terus dilanda ombak globalisasi,menunjukkan betapa Allah kasih dan sayang kepada mereka-mereka yang ikhlas berada di dalamnya. Kita harus yakin, sebagai golongan muda, idea kita majoritinya bersifat merombak,berkepalakan kebenaran dan kejujuran, dan jiwa kita jiwanya penuh dengan kobaran semangat untuk mencapai puncak kejayaan.

Namun, harus kita pandang bahawa Islam itu mengajar untuk kita bersifat wasatiyah, bersederhana dalam bertindak. Tindakan kita harus berhikmah dan penuh dengan kecerdikan memacu rencana. Di situlah keperluan pengalaman daripada golongan veteran untuk memandu golongan muda mencapai hasil yang sama-sama kita ingini. Alhamdulillah, PAS tanpa berdolak dalik lagi akan terus kekal di dalam Pakatan Rakyat.

Kita tidak nafikan, merebaknya segala persepsi yang membentuk fatamorgana realiti(fitnah) ini wujud akibat kelemahan kepimpinan PAS sendiri menangani gelombang media dan komunikasi yang semakin rencam. Berita-berita yang tenggelam timbul baik daripada media pro-UMNO,pro-pembangkang dan neutral,semuanya meningkatkan cetusan persepsi yang gagal dihidu dengan baik oleh ahli siyasah dan pimpinan PAS. Membiarkan persepsi itu terus wujud, sebenarnya bukan sahaja menambah gundah tetapi meningkatkan tahap kebenaran persepsi itu menjadi sebuah realiti.

Di sinilah, kita melihat kepimpinan PAS gagal atau kalau boleh saya gunakan perkataan cuai dalam merencanakan strategi menangani isu-isu politik dalaman di dalam parti mereka sendiri. Unit-unit penerangan,IT dan strategik PAS kurang ampuh menerima gelombang fitnah ini,pastinya menambah parah luka yang telah bernanah.Mereka terlepas pandang banyak perkara sehingga setiap berita-berita itu dibiar tanpa satu kenyataan dan jawapan yang kukuh. Anda boleh bayangkan jika ahli-ahli mereka sendiri tidak mendapat bayangan hatta kenyataan daripada pimpinan inikan pula rakyat marhaen yang lain.

Ditambah lagi dengan jawapan terumbang-ambing serta tanpa matlamat yang konstruktif daripada salah seorang pimpinan PAS sewaktu rancangan 'Hujah' kelolaan Dr Agus di TV9 satu ketika dahulu. Mereka menyuarakan tentang demokrasi dalam PAS dengan kepelbagaian pandangan dan pendapat tetapi tidak mampu menjawab persoalan Dr. Agus apakah permainan demokrasi yang cuba ditonjolkan oleh kepimpinan PAS. Apakah pendirian sebenar PAS berhubung kerajaan perpaduan(UG) dan Pakatan Rakyat(PR)? Semua ini bermain di sekitar perdebatan yang tidak punya jawapan sehingga hadirnya seminar pada hari sabtu lalu. Alhamdulillah,penganjuran seminar ini sedikit sebanyak menjawab persoalan yang timbul serta memberi kelegaan baik kepada ahli mahupun seluruh rakyat.

Sahabat-sahabat sekalian,

Kritikan kepada kelemahan kepimpinan PAS menghadapi persepsi tidak harus menambahkan dendam dan resah kita untuk mendesak perletakan jawatan kepada beberapa kepimpinan atasan PAS. PAS bukanlah sebuah parti yang berasaskan perkauman,ideologi individu mahupun persepsi majoriti. PAS merupakan sebuah organisasi yang di atas perlembagaannya terletaknya Al-Quran dan As-Sunnah dan selagimana dua pegangan ini kekal menjadi panduan kepada kebijakan politik dan perencanaan tarbiyah, pastinya setiap ahli yang mengikuti seminar tempoh hari tidak akan cepat berkokok di siang hari kerana PAS masih berada di landasan yang betul, cumanya perbezaan ijtihad yang tidak berjaya ditangani dengan baik oleh para pimpinan PAS.

Di sinilah, kita harus berlapang dada memberi ruang buat beberapa pimpinan PAS untuk bekerja dan berjuang membina kembali platform dan dinding bagi mengawal fitnah buruk yang telah dilemparkan kepada mereka. Sirah perjuangan Rasulullah telah banyak mendidik jiwa kita bagaimana menghadapi sebuah persepsi yang bertukar fitnah melulu.
Saya yakin kepimpinan Dewan Pemuda PAS(DPP) tidak akan duduk diam di bangku simpanan kerana merekalah sebenarnya yang harus menjadi tiang kepada keretakan perhubungan dua golongan ini.

Kepada ahli-ahli PAS lain, usah melihat kenyataan Presiden PAS itu sebagai penutup mulut krisis kepimpinan PAS ketika ini. Kita harus memandang positif ucapan Presiden itu sebagai satu lagi tekad buatnya untuk memegang amanah itu sehingga PRU-13 nanti. Jangan kita terus menghukum kesilapan manusia sehingga sebenarnya seolah-oleh kita pula yang mencetuskan persepsi buruk berbentuk fitnah kepada kepimpinan. Saya melihat kecekalan Ustaz Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS untuk mempertahankan jawatan masing-masing tidak lebih kepada untuk mengelakkan perpecahan yang lebih besar kepada PAS pada masa akan datang dan demi memperkukuhkan kembali saf kepimpinan yang sedikit rapuh.

Sejarah politik telah membuktikan perletakan jawatan secara drastik tanpa ada pelan peralihan pelapis akan hanya menambah garam pada luka krisis kepimpinan ini. Masanya telah tiba untuk golongan muda terkehadapan memberi sebanyak mungkin idea-idea bermanfaat yang bersifat mesra alam bukannya provokatif dan 'destructive'. Kita perlu belajar semula bagaimana sahabat muda sebesar Ibn Abbas mampu bergaul dan berhubung secara kondusif dengan para sahabat ilmuwan yang jauh lebih berumur daripada beliau. Personaliti yang dibawa oleh Ibn Abbas inilah yang menarik perhatian Saidina Umar Al-Khattab untuk mengambil beliau terlibat dalam merencanakan kebijakan politik kerajaan beliau.

Buat golongan yang lebih berumur, mereka pula harus bersedia menjadi baju kebal untuk menahan segala peluru kritikan membina daripada kuasa-kuasa pemuda ini. Mereka harus bergerak mengikut konteks 'uruf dan zaman pada masa kini yang memerlukan kita cepat,cekap dan mesra dalam menangani pelbagai masalah dan isu. Golongan muda harus diberi ruang mengemukakan pandangan dan berkecimpung di dalam gelanggang kepimpinan demi memberi satu pendedahan dan pengalaman yang mantap kepada golongan muda ini.

Buatlah apa sahaja demi memberi ruang dan pendedahan ini. Barangkali satu pos Naib Presiden memadai supaya dapat mengimbangi suara dan kuasa kedua-duanya. Jangan bila terngadah baru nak menadah tangan memohon bantuan.

Sekian dulu sedikit kupasan daripada hati saya yang sedikit memberontak akibat krisis gerakan ini.Moga peroleh manfaat daripada tulisan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam.


(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Wassalam
MZZ

No comments: