Saturday 12 December 2009

Kita tidak memiliki tetapi dimiliki oleh-Nya : Dedikasi buat sahabat lama




(Ihsan daripada Berita Harian dan Harian Metro)

Berita mengejutkan

Aku yakin setiap pengunjung yang membaca entri kali ini telah dikejutkan dengan berita kematian seorang pengantin baru lelaki bersama ibubapanya baru-baru ini. Berita tragis kemalangan yang menimpa beliau, ibubapa dan seorang rakan jiran benar-benar menyentuh jiwa aku sehingga terdetik hati untuk dinukilkan sedikit nota dedikasi buat beliau di blog ini . Seringkali aku melihat terpapar di dada-dada akhbar kemalangan yang kunjung tiba meragut nyawa umat Nabi Muhammad, tetapi berita kemalangan maut ini sekonyong-konyongnya cukup berbeza.

Ramai sudah mengenali beliau. Rakan-rakan rapat beliau di MRSM Langkawi, Notts University serta sahabat aktivis samada di dalam MSM ataupun lapangan dakwah lain pastinya ada cerita yang lebih menarik untuk dikongsi. Barangkali tidak layak untuk aku berbicara tentang beliau, namun, aku redahkan diri untuk menulis entri kali ini buat memberi peringatan dan motivasi kepada kita semua tentang ajal maut,jodoh pertemuan serta erti sebuah persahabatan tanpa mengenal lapangan dakwah, kerjaya, pangkat mahupun kedudukan.

Pengalaman hidup sepanjang perkenalan

Perkenalan pertama aku dengan beliau adalah pada 5 tahun lalu ketika kami bersama seorang lagi rakan menetap di bilik di Kolej MARA Seremban sebelum masing-masing membawa haluan sendiri untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di UK. Dalam kata lain, beliau yang merupakan rakan sebilik aku di kolej ini sedikit sebanyak telah meninggalkan memori dan sumbangan yang tidak sedikit di dalam nota kehidupan aku.

Beliau yang aku kenali cukup komited dalam melaksanakan apa-apa tugasan yang diberikan. Pertemuan semula dengan beliau kebanyakannya sewaktu kami sama-sama menghadiri daurah pada tahun pertama dan juga pernah sekali beliau berkunjung ke teratak kami di West Yorkshire bersama rakan-rakan dari Kolej MARA Seremban untuk menyertai pertandingan sukan malaysia yang julung-julung kali dianjurkan. Kali terakhir aku bersemuka dengan beliau adalah pada bulan 4 yang lalu sewaktu beliau begitu serius menelaah fakta-fakta serta ucapan untuk berhadapan dengan penemuduga beliau di London. Memang telah disuarakan sejak awal lagi beliau berminat untuk bergelar seorang pensyarah.

Semenjak bulan 4 yang lalu, beberapa kali juga aku cuba menghubungi beliau melalui talian internet menggunakan YM untuk bertanya khabar beliau, namun tidak berbalas; mungkin agak sibuk menguruskan aktiviti beliau di Malaysia. Tidak semena-mena, 2 minggu lalu, beliau sempat mengetuk kekotak YM aku. Sewaktu itu mahu sahaja aku mengucapkan selamat kepada pengurusan kenduri kahwinnya yang akan datang kerana takut-takut tidak mampu aku memenuhi jemputan perkahwinan beliau nanti atas sebab mobiliti yang agak jauh daripada tempat menetapku ketika ini. Namun, perbualan kami bernoktah dengan perkongsian maklumat tentang universiti dan fakulti yang mahu beliau ceburi dan tidak sempat untuk aku bertanya khabar tentang ikatan baitul muslim yang bakal dilaluinya itu. Langsung tidak aku fikirkan bahawasanya itulah detik terakhir aku berbual dengan beliau, dan Allah lebih sayangkan beliau dan ibubapanya dengan memanggil mereka ke hadrat-Nya.


Persis Kisah Hanzalah

Tragedi Ariff mengingatkan aku tentang kisah pahlawan Hanzalah yang syahid di medan tempur Uhud selepas baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Belum sempat Hanzalah menikmati hidup sebagai pasangan suami-isteri, gendang perang jihad berkemundang. Beliau syahid dalam peperangan tersebut.

Kisah panjang Hanzalah boleh dirujuk di laman sesawang ini.

Subhanallah, begitulah harga seorang duat dan pejuang agama di sisi Allah. Besar sungguh kasih sayang Allah buat mereka yang ikhlas mendaulatkan agama Allah.

Muhasabah Tahun Baru Hijrah

Kisah Hanzalah ini tidak mungkin dapat disamakan dengan kisah Mohd Ariff. Namun, perkenalan semasa hidup mahupun kemalangan ngeri serta insiden tragis yang menimpa perkahwinan beliau ini bukanlah menjadi perkara pokok yang mahu aku utarakan.Apa yang lebih penting untuk kita semua bermuhasabah ketika ini adalah untuk masing-masing menilai semula ke mana mahu kita pandukan perjalanan hidup kita yang singkat ini.

Mohd Ariff Abd Kadir serta ibubapanya telah menamatkan kitab hidup duniawi mereka awal seminggu sebelum tutupnya kitab hidup kita untuk tahun 1430 H. Aku yakin berdasarkan cara hidup berkebajikan yang beliau lalui sepanjang perkenalan kami serta komitmen beliau menyertai program-program dakwah pastinya akan menjadi bekalan terbaik buat beliau menempuh alam panjang yang akan ditempuh oleh semua manusia suatu hari nanti iaitu alam akhirat. Salah seorang aktivis dakwah yang sempat aku kenali dan sahabat yang tidak akan luput dalam memori aku.

Buat kita semua dan ramai lagi pengunjung di luar sana, pengakhiran kehidupan kita masih belum dinoktahkan samaada berada di jalan Allah mahupun jalan orang yang disesatkan Nauzubillahiminzalik!!

Jangan sekali kita cepat mendabik dada dengan variasi usrah, program dan wacana yang kita sertai, tetapi hayatilah sejauh mana program itu benar-benar membawa impak kepada perjalanan hidup kita serta bagaimana ia mampu dihayati juga oleh masyarakat di luar sana melalui dakwah. Ayat ini sebenarnya dilemparkan juga khusus kepada si penulis kerana semakin hari semakin jauh menunaikan tanggungjawab besar ini.

Apa yang pasti, kisah Ariff memberi satu motivasi buat kita untuk memperbaiki semula amalan, memperbetulkan niat serta matlamat kehidupan kita yang selama ini seringkali diganggugugat oleh nafsu serta godaan musuh besar manusia.

Entri kali ini, sekali lagi mahu memberi peringatan buat kita semua khususnya si penulis bahawa hidup ini direncanakan oleh Allah dengan pelbagai peraturan yang tidak mungkin dapat difikirkan manusia. Siapa sangka, di majlis rahmat yang menyatukan dua hati untuk mendapat keredhaan Allah berakhir di pintu barzakh. Percayalah bahawa kita tidak memiliki tetapi dimiliki oleh-Nya.

Akhir kalam, salam bahagia buat Allahyarham Mohd Ariff Abd. Kadir dan Allahyarham Abd Kadir dan Apsah serta sahabat jirannya yang terkorban. Moga berkat hari Sayyidul Ayyam, kalian dikurniakan Allah Jannah di akhirat kelak atas semua kebajikan yang kalian laksanakan. Selamat bertemu di akhirat nanti dan moga kita semua berada pada pengakhiran yang baik iaitu husnul khotimah dan menikmati kehidupan di syurga kelak.

Innalillahiwainnailaihirajiun.
ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR WALILLAHILHAMD.

MZZ

No comments: