Saturday 10 April 2010

4 bulan menyepi : Definisi sebuah kejayaan

Salam,

Setelah hampir 4 bulan meninggalkan blog ini tanpa pengisian, akhirnya hari ini, aku gagahkan juga kudrat ini untuk menulis semula. Ironinya, 4 bulan bagi sebuah rumah yang ditinggalkan, pastinya ruang rumah itu akan penuh dengan sesawang lelabah bahkan mungkin juga penuh dengan hasil buangan haiwan yang merayap. Begitulah analoginya bagi blog yang telah ditinggalkan ini. Namun, diharap pemilik blog ini tidak terus sepi dalam membersihkan diri daripada kotoran-kotoran yang mungkin terbit daripada sesawang-sesawang kehidupan.

Bukan kerana 'segan' untuk menaip memberi input segar, tetapi kerana ruang untuk berkarya sedikit terbatas dek kerana hati ini masih lagi hiba tatkala menatap artikel terakhir 4 bulan lalu berkenaan arwah sahabat. Jari jemari ini semacam agak sukar untuk memulakan bicara. Ini ditambah lagi apabila rentak kehidupan semakin berubah daripada seorang mahasiswa yang terbang di awan dengan tenang kepada seorang profesional yang berpijak di bumi nyata yang penuh dengan mehnah dunia.

Masa depan duniawi bukanlah satu hakikat yang dapat menjamin kebahagiaan akan datang. Aku tertarik dengan kata-kata seorang rakan berbangsa cina lulusan PhD apabila mendefinisikan kejayaan. Pada pandangannya, kejayaan adalah sesuatu yang di luar pencapaian(Success is beyond achievement). Jika kita mampu mendabik dada bahawa kita sudah berjaya apabila mencapai sesuatu titik kehidupan dunia, percayalah sebenarnya kejayaan itu cumalah satu pengakhiran kepada suatu permulaan kehidupan kita yang panjang.

Benarlah ungkapan rakan-ku ini.Walaupun beliau mengungkapkan kenyataan itu dalam keadaan beliau masih belum menerima hidayah untuk bersaksi dengan syahadah, bait-bait kata itu sebenarnya memberi banyak makna yang cukup mendalam bahawasanya kegemilangan seseorang itu sebenarnya di luar lingkungan apa yang mahu digapai. Kerana itu, Allah menjanjikan manusia satu titik kehidupan yang tiada dapat dinilai dengan sebuah kejayaan dunia baik dibandingkan dengan harta,ilmu,pangkat,isteri,anak-anak hatta seluruh isi dunia.

Walaubagaimanapun, kejayaan hakiki daripada titik kehidupan itu tidak sama sekali mengetepikan seluruh isi dunia kerana dengan kejayaan sementara di dunia, boleh saja mengangkat seseorang itu mencapai kegemilangan hakiki di alam akhirat, namun, dalam masa yang sama, ia juga boleh menjerumuskan kita kepada kegagalan selama-lamanya di dunia kekal abadi ini.

Wahai sahabat-sahabat pembaca,

Mari kita kembali menjengah sebentar dalam diri kita, hati kita dan seterusnya bermuhasabah semula niat kita dalam mencapai apa-apapun impian, cita-cita mahupun gemilang yang dicari selama ini. Islam tidak sesekali menghalang umatnya daripada menggapai bintang-bintang kejayaan, malah menjadi satu tuntutan untuk umat Islam menjelmakan erti sebuah kejayaan. Namun begitu, sayangnya, ramai umat Islam yang berterusan hanyut mendefinisikan kejayaan itu dengan harga sebuah meter kehidupan dunia berdasarkan pencapaian pangkat, harta, isteri, anak-anak dan lain-lain yang semuanya ini akan berterusan melalaikan kita memahami konsep kejayaan hakiki di dunia yang satu lagi itu sepertimana yang disebut di dalam manual kehidupan, Al-Quran.

Kerana itu, dunia adalah tempat untuk kita bercucuk tanam, dan hasil mashyurnya akan dituai di akhirat nanti. Jika definisi kejayaan yang mahu digapai tidak dijelmakan di dunia, sebagai umat Islam kita wajib meyakini, janji Allah di akhirat kelak tidak akan pernah sekali melupakan kita daripada kejayaan hakiki. Walau apa bentuk pun kejayaan yang Allah turunkan kepada kita di dunia, pasakkanlah dalam diri kita, ada sesuatu hikmah yang mahu Allah berikan kepada kita buat panduan mencapai kejayaan di akhirat nanti serta jangan pernah berhenti bersyukur.

Ya Allah, aku bersyukur ke hadrat-Mu kerana dalam pencarian aku selama 4 bulan ini, Engkau telah tunjukkan aku jalan yang terbaik buat hamba-Mu ini.Barangkali, jalan ini bukanlah terbaik di sisi manusia, bukan juga cemerlang dalam parameter dunia, namun aku redha dan sentiasa bersangka baik dengan janji-Mu Ya Allah bahawa Jalan ke Syurga itu tidak pernah mudah bagi hamba yang rindu untuk mendekati-Mu.

Dengan rahmat Engkau,Ya Allah,serta syafaat pesuruh Engkau, Nabi Muhammad S.A.W,aku bermohon agar Engkau letakkanlah ibubapa-ku, keluarga-ku, bakal isteri serta keluarga yang akan kubina nanti dalam kegemilangan hakiki di sisi-Mu. Janganlah Ya Allah Engkau tarik rahmat-Mu serta syafaat Nabi Muhammad S.A.W. daripada kami kerana Menggapai Jalan ke Syurga itu, tidak pernah mudah.

AMIN YA RABBAL ALAMIN..

Nukilan khusus buat mereka yang tersayang,

Wassalam

MZZ

No comments: